X
SHOPEE
SHOPEE
Sri Ayu Kartika Amri


PEMAIN e-dagang, Shopee memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan penjual yang didapati melanggar polisi Shopee akan diharam menggunakan platform terbabit.

Pengarah Urusan Wilayah Shopee, Ian Ho berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung penjualan bahan cetak rompak menerusi platform itu.

Katanya, produk yang didapati menyalahi undang-undang serta melanggar polisi syarikat akan dibuang dalam senarainya.

"Shopee adalah platform penjualan pihak ketiga yang menyenaraikan barangan mereka untuk dijual.

"Penjual di Shopee adalah individu atau perniagaan bebas yang tidak berkaitan dengan kami, dan Shopee tidak mempunyai bahagian dalam membuat kandungan senarai.

"Shopee juga mempunyai polisi penyenaraian yang ketat dan hanya membenarkan penjualan produk dan perkhidmatan yang bersesuaian dengan undang-undang di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai penjualan filem cetak rompak Ada Apa Dengan Dosa menerusi platform berkenaan.

Muka depan Harian Metro hari ini melaporkan penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD), Datuk Ayu Puteh bakal menyaman pihak e-dagang sebanyak RM50 juta.

Ia susulan filem terbitan syarikatnya, Pencil Pictures & Records Sdn Bhd dijual secara haram di platform berkenaan.

Berdasarkan perkongsian tangkap layar (screen shot) di media sosial oleh warganet mendapati filem dibintangi pelakon Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sanda dan PU Riz itu dijual pada harga RM1 dan RM5 di platform e-dagang.

Ian berkata, Shopee sudah memadamkan pautan berkenaan.

Katanya, langkah menyenarai hitamkan kata kunci berkaitan filem yang berkaitan turut diambil bagi menghalang sebarang usaha jual beli bahan berkenaan.

"Kami juga ingin menggalakkan pengguna untuk terus menyalurkan maklumat mengenai penjualan secara tidak sah itu terus kepada Shopee," katanya.

Pengguna boleh menghubungi Shopee terus melalui pilihan 'Report Product' (lapor produk) di sebelah kanan senarai produk di platform terbabit.

Alternatif lain, pelanggan juga boleh menghantar emel aduan ke [email protected] atau hubungi talian 03-2777 9222.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 10:50 AM