KERETA yang terjatuh ke tebing sungai dan orang ramai membantu mangsa yang cedera. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
KERETA yang terjatuh ke tebing sungai dan orang ramai membantu mangsa yang cedera. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


DUA guru maut, dua lagi parah apabila kereta dinaiki terjatuh ke tebing sungai selepas dipercayai terbabas di Kampung Kijang, berhampiran jambatan Merotai Besar dekat Tawau, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian pada 6 pagi itu, kesemua mangsa yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Umas dalam perjalanan dari Jalan Merotai menuju ke sekolah.

Dua mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Dayana Damsah, 27, yang meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Nurizyani [email protected], 24, meninggal ketika sedang menerima rawatan di Hospital Tawau.

Dua lagi mangsa, Hasnaini Paiori dan Nur Zairah Aladin, parah dan kini dirawat di hospital sama.

Difahamkan, Dayana baru melangsungkan perkahwinan minggu lalu.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zulbada Alior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira 6.02 pagi sebelum tujuh anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri ke bahu jalan dan terhumban ke tebing sungai.

"Empat mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan kesemua mangsa parah.

"Dua mangsa pertama berjaya dikeluarkan orang awam, sementara dua lagi oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Tawau," katanya dalam kenyataan hari ini.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 11:58 AM