X
Yusmizal Dolah Aling


"MALAYSIA tidak akan jadi tong sampah dunia dan bertindak tegas terhadap apa juga unsur yang cuba dibawa masuk kontena mengandungi sisa toksik atau yang tidak mematuhi peraturan seperti sisa plastik dan sebagainya," kata Menteri Alam Sekitar dan Air (Kasa) Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, pelbagai langkah diambil merangkumi operasi penguatkuasaan dan pemantauan perkembangan terkini di pelabuhan bagi memastikan tiada pihak cuba mengambil kesempatan meninggalkan sisa buangan dan toksik ke negara ini.

Menurutnya, pihaknya akan bertindak tegas terhadap apa juga unsur yang cuba dibawa masuk kontena mengandungi sisa toksik atau yang tidak mematuhi peraturan seperti sisa plastik dan sebagainya.

"Penubuhan Kasa adalah tepat pada masanya dalam memangkinkan pertumbuhan hijau supaya negara ini dapat membangun secara lestari dan inklusif untuk kemakmuran bersama.

"Ia berasaskan kepada tiga komponen utama iaitu pengurusan sumber alam sekitar merangkumi empat aspel atmosfera, hidrosfera, litosfera dan biosfera.

"Perkhidmatan alam sekitar yang merangkumi aktiviti dan kawalan bahan cemar dan pelestarian alam sekitar sebagaimana konsep 'planetary health' supaya keseluruhan ekosistem berada dalam keadaan sihat, seimbang dan 'mizan' bukan saja kepada manusia, malah flora dan fauna serta atmosfera, hidrosfera dan litosfera," katanya pada sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) mengenai rasionalnya diwujudkan kementerian khusus yang bertanggungjawab ke atas alam sekitar dan air.

Tuan Ibrahim turut berkongsi pengalamannya sendiri turun ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) baru-baru ini selepas mendapat maklumat ada 110 kontena transit ke PTP dan dalam pengurusan dihantar balik ke negara asal iaitu Romania.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 12:31 PM