PATI dihantar pulang melalui Pelabuhan CIQS Tawau, Jun lalu. FOTO arkib NSTP
PATI dihantar pulang melalui Pelabuhan CIQS Tawau, Jun lalu. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


SERAMAI 22,297 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) sudah dihantar pulang ke negara asal.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata, setakat ini Malaysia mendapat kerjasama daripada negara asal untuk proses terbabit.

Katanya, ia membabitkan 5,613 Pati Indonesia, 3,990 (Myamnar) dan Bangladesh seramai 2,664 orang sudah pun dihantar pulang.

"Dari semasa ke semasa kita nak pastikan Pati yang kita letak di depoh ini kita segera hantar pulang," katanya menjawab soalan tambahan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PKR- Johor Bahru) pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya pada 2017, seramai 48,464 orang Pati sudah ditangkap, 48,372 (2018), pada 51,300 pada tahun lalu.

"Oleh kerana Covid-19, kadar tangkapan kita kurang pada 2020 iaitu 18,092," katanya.

Ismail berkata kerajaan juga akan mengambil tindakan tegas kepada petualang tempatan yang menjadi tekong serta membawa masuk pendatang asing tanpa izin ke negara ini.

Ia termasuk kepada pemberi maklumat kepada tekong sehingga membenarkan Pati masuk ke negara ini yang jelas memberi bebanan kewangan kepada negara.

Untuk itu katanya, Ops Benteng akan diteruskan dari semasa ke semasa kerana ia adalah operasi bersepadu antara tentera polis serta agensi lain yang berkongsi maklumat risikan termasuk daripada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 12:58 PM