LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


INDIVIDU ketiga yang juga teman wanita suspek kes bunuh pensyarah wanita yang mati dijerut Rabu lalu akan diambil keterangan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, keterangan berkenaan diambil bagi membantu siasatan berhubung punca kejadian.

"Teman wanita suspek berada di luar Selangor dan sepasukan polis akan merakam percakapan bagi membantu siasatan.

"Individu ini tidak terbabit dalam kegiatan jenayah ini tetapi hanya untuk membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata, pihaknya juga akan membuat permohonan reman kedua terhadap suspek selepas permohonan reman pertama tamat esok.

"Suspek akan disambung reman bagi melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan seterusnya.

"Anak mangsa juga kini berada dalam jagaan keluarganya," katanya.

Pada 29 Julai lalu, seorang wanita yang juga pensyarah ditemui mati di dalam kereta di tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil, di Sepang.

Kejadian dipercayai berlaku selepas suspek yang tidak dapat menerima hakikat isterinya memfailkan pengesahan perceraian menyebabkannya tergamak membunuh wanita terbabit dengan menjerut lehernya menggunakan tudung.

Suspek turut berpura-pura mencari isterinya, 40, yang juga seorang pensyarah bersama anak perempuan berusia 14 tahun selepas membunuhnya sebelum menghubungi Mers 999 mendakwa menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 1.04 pagi.

Suspek yang bekerja sebagai sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan di Taman Mas, Putra Perdana, di Sepang.

b>Berita berkaitan

Telefon bimbit pensyarah belum ditemui

Anak mangsa bunuh stabil

Tempahan e-hailing bongkar pembunuhan pensyarah

Selam cari telefon bimbit pensyarah dibunuh

Kes bunuh pensyarah: Suami dipercayai curang

Cari isteri hanya lakonan suami

Anak mangsa luah rindu

Bunuh isteri guna tudung

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 1:25 PM