Khairul Dzaimee (kanan) menunjukkan dokumen palsu yang dirampas. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Khairul Dzaimee (kanan) menunjukkan dokumen palsu yang dirampas. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Noor Atiqah Sulaiman


JABATAN Imigresen menumpaskan dua sindiket pemalsuan dokumen yang beroperasi sejak dua tahun lalu di Kuala Lumpur yang dianggarkan memberi 'manfaat' kepada lebih 30,000 warga Myanmar.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, risikan selama dua bulan itu mendapati purata individu yang mendapatkan perkhidmatan pemalsuan dokumen itu antara 30 hingga 50 orang sehari.

Katanya, pelanggan dikenakan caj antara RM30 hingga RM150 bergantung jenis dokumen yang ditempah dan ia dapat disiapkan pada hari yang sama kepada mereka yang menetap di kawasan Lembah Klang.

Beliau berkata, sindiket ini juga menerima tempahan daripada pelanggan di seluruh Semenanjung, dan pelanggan hanya perlu menghantar butiran peribadi dan gambar melalui beberapa aplikasi termasuk WhatsApp.

"Dokumen yang sudah siap akan dihantar melalui kurier selepas bayaran selesai dibuat.

"Sindiket ini dipercayai menggunakan dokumen palsu berkenaan bagi elak ditahan pihak berkuasa sehingga mereka mendapat surat temujanji daripada pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi mendapatkan dokumen pertubuhan itu secara sah.

"Sindiket ini mensasarkan warga Myanmar iaitu etnik Rohingya dan Arakan (Muslim) yang baru tiba di negara ini secara haram," katanya dalam sidang media, di Putrajaya, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, sindiket itu ditumpaskan dalam operasi pada 2.10 petang itu semalam, dan 16 individu warga asing terdiri daripada 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh ditahan.

"Seorang warga tempatan iaitu pemilik premis yang disewakan kepada warga asing terbabit turut dikeluarkan saman saksi bagi membantu siasatan," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, kegiatan sindiket ini dihidu dan dipantau sejak Mei lalu sebagai tindakan kepada aktiviti pendaratan etnik Rohingya di pantai Kuala Muda, Kedah pada Mac tahun lalu.

"Dalang bagi sindiket ini adalah warga Myanmar. Ketika pemeriksaan daripada pihak kami turut menemui surat rayuan, surat perlindungan dan surat bantuan perubatan kepada UNHCR untuk warga Myanmar.

"Sindiket turut dikesan menyediakan perkhidmatan memalsukan dan meminda maklumat 'bio-page' pasport antarabangsa pelbagai negara, membuat pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pas lawatan palsu lain.

"Rangka (template) surat pengesahan pemeriksaan COVID-19 klinik swasta turut ditemui di dalam pemicu dan komputer riba," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas dokumen yang disyaki palsu iaitu 13 keping i-Kad Imigresen, 35 kad UNHCR dan masing-masing tiga unit komputer riba dan komputer, enam mesin pencetak, empat mesin lamina dan lima pemicu.

Turut ditemui enam mesin pencetak, empat mesin lamina dan lima pemicu, beberapa keping kad lamina hologram UNHCR, kad nikah muslim Myanmar dan kad pertubuhan Rohingya di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 6:12 PM