Lori yang dipercayai digunakan untuk membuang sisa buangan berupa minyak ke dalam longkang yang menyebabkan berlaku pencemaran di Sungai Batang Nilai.
Lori yang dipercayai digunakan untuk membuang sisa buangan berupa minyak ke dalam longkang yang menyebabkan berlaku pencemaran di Sungai Batang Nilai.
Mohd Amin Jalil


GUNA lori untuk mengangkut sisa minyak sebelum dibuang ke dalam Sungai Batang Nilai di sini, pada waktu malam.

Tindakan jenayah alam sekitar itu menyebabkan Sungai Batang Nilai di sini, tercemar sekali gus berpotensi menjejaskan kualiti air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Labu, Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, aduan diterima daripada Ahli Majlis Perbandaran Nilai (MPN) yang mengesan tindakan sebuah lori membuang sisa minyak ke dalam sungai berkenaan sekitar jam 10 malam tadi.

Katanya, sebaik menerima aduan itu, pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan bersama kakitangan Badan Kawal Selia Air (BKSA) Negeri Sembilan dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bergegas ke lokasi kejadian.

"Hasil siasatan dijalankan mendapati berlaku pembuangan sisa minyak ke dalam longkang awam di Taman Ros Merah, Nilai, yang seterusnya memasuki Sungai Batang Nilai.

"Pembuangan sisa berkenaan menyebabkan air sungai itu tercemar apabila terdapat bau berminyak yang berpotensi menjejaskan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Labu, Selangor.

"Pegawai JAS negeri sudah mengenal pasti kenderaan yang digunakan pihak terbabit untuk membuang sisa minyak berkenaan dan alamat pemilik lori itu direkodkan untuk tindakan lanjut," katanya.

Mengulas lanjut, Veerapan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah berkata, bagaimanapun pemandu lori terbabit gagal ditahan apabila melarikan diri sebaik anggota penguat kuasa tiba.

Beliau berkata, sampel bahan buangan berkenaan sudah diambil sebagai bahan bukti dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis dari segi komposisi buangan.

Menurutnya, JAS negeri sedang menyediakan kertas siasatan bagi mendakwa pihak yang terbabit mengikut Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan lain-lain seksyen yang berkaitan.

"Jika sabit kesalahan, pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu boleh dikenakan denda sehingga maksimum RM500,000 dan penjara mandatori sehingga 5 tahun atau kedua-duanya.

"Kerajaan negeri ingin menarik perhatian bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas penjenayah alam sekitar di bawah undang-undang sedia ada, bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar dan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 6:15 PM