ANTARA jemaah tabligh yang telah di bawa pulang. FOTO NSTP
ANTARA jemaah tabligh yang telah di bawa pulang. FOTO NSTP
Yusmizal Dolah

DEWAN RAKYAT hari ini diberitahu seramai 74 jemaah tabligh warganegara Malaysia masih berada di India.

Daripada jumlah itu 13 orang berada di New Delhi dan masih menunggu pelepasan dan kebenaran pulang daripada kerajaan India.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, 52 orang berada di beberapa wilayah di India dan sedang menjalani proses perundangan manakala sembilan yang lain berada di Kolkata dan menanti prosedur perundangan.

"Saya tidak nafikan cabaran terbesar Wisma Putra sepanjang Covid-19 adalah untuk mengurus kepulangan jemaah tabligh warga Malaysia yang berada di India.

"Pada peringkat awal jumlah yang terkandas sejak Mac adalah seramai 189 orang. Bagaimanapun hasil usaha keras semua pihak sehingga hari ini, Kementerian Luar sudah membawa pulang 115 jemaah," katanya ketika menggulung perbahasan kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Hasbullah Osman (BN-Grik) mengenai berapa ramai jemaah tabligh yang masih berada di India dan usaha kerajaan mengenainya.

Hishammuddin berkata, Wisma Putra masih terus menyelaras untuk membawa pulang baki jemaah tablgih di India secara berperingkat-peringkat

"Atas usaha pelbagai pihak atas 115 jemaah yang pulang, saya mengucapkan syukur kerana bukan mudah untuk kita menguruskan kepulangan mereka kerana mereka sudah melanggar undang-undang dan peraturan negara India itu sendiri dan menyalahgunakan visa lawatan sosial mereka untuk membuat aktiviti keagamaan.

"Alhamdulillah kita ada tekad, kesungguhan dan komitmen di mana khidmat guaman, kita sudah biayai penginapan mereka di India.

"Semua ini adalah tanggungjawab kerajaan dan kementerian untuk memastikan mereka yang berada dalam kategori kritikal kembali ke tanah air secepat mungkin," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 7:04 PM