DATUK Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Kampung Lambor Kanan, Bota yang kebakaran pada 30 Julai lalu. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
DATUK Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Kampung Lambor Kanan, Bota yang kebakaran pada 30 Julai lalu. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyumbang RM25,000 kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Kampung Lambor Kanan di Bota, yang terbakar 30 Julai lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, RM20,000 disumbang melalui Tabung Musaadah Covid-19 JAKIM-Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan RM5,000 pula daripada YADIM.

Menurutnya, bantuan awal itu diberikan untuk pihak maahad berkenaan membaik pulih bangunan yang rosak.

"Pengurusan maahad diminta melengkapkan kertas kerja untuk menilai berapa (peruntukan) yang sesuai untuk membantu sebaik mungkin," katanya selepas melawat maahad berkenaan, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Paimuzi Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin.

Katanya, semua maahad tahfiz diminta berdaftar dengan Jabatan Agama Islam negeri suntuk memudahkan sebarang urusan dan bantuan.

"Semua maahad thafiz perlu berdaftar kerana saluran maklumat akan jadi lebih mudah dan terarah," katanya.

Pada kejadian jam 12.30 tengah malam itu, bangunan dua tingkat maahad berkenaan terbakar 80 peratus.

Bagaimanapun, 115 pelajar lelaki di pusat tahfiz itu dapat menyelamatkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 8:07 PM