RUMAH mangsa yang hangus terbakar. FOTO Roselan Ab Malek
RUMAH mangsa yang hangus terbakar. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


"KIPAS tiba-tiba mati, saya bangun untuk menghidupkannya namun terkejut melihat api sedang marak di ruang tamu rumah," kata Zahari Ariffin, 60.

Zahari dan anaknya, Zaini, 22, selamat selepas kediaman mereka di Taman Perumahan Kos Rendah Peringkat 3 dan 4 di Jerantut, terbakar jam 4.20 pagi tadi.

Menurut Zahari, ketika kejadian, dia tidur di bilik depan rumah kayu itu.

"Saya terus mengejutkan Zaini yang tidur di bilik belakang sebelum keluar dari rumah," katanya.

Zaini pula berkata, dia cuba memadamkan kebakaran namun api terlalu marak.

"Syukur kerana ayah sempat kejutkan saya daripada tidur.

"Walaupun Proton Waja serta motosikal Demak musnah dalam kebakaran, selain kami tinggal sehelai sepinggang, saya tetap bersyukur kami selamat," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jerantut Mohamad Zulkifli Mohamad Zainal berkata, kebakaran menyebabkan rumah itu musnah kira-kira 80 peratus.

"Kami menerima panggilan kebakaran jam 4.29 pagi dan tiba ke lokasi tiga minit kemudian.

"Api dipadam sepenuhnya jam 7.30 pagi. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar Datuk Nazri Ngah turut menyampaikan bantuan keperluan asas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada keluarga berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 8:40 PM