X
A Asmadi Abdul Aziz.
A Asmadi Abdul Aziz.
Oleh Balqis Jazimah Zahari


INDIVIDU yang didakwa memakai gelang merah jambu di sebuah restoran di sini, bukan memakai gelang pesakit di bawah pengawasan (PUS) Covid-19 sebaliknya memakai 'tag' masuk ke taman tema terkenal di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan penafian perkara itu daripada peniaga restoran terbabit jam 5 petang.

"Pengadu (peniaga) mendapat satu gambar tular daripada kumpulan aplikasi WhatsApp pelanggan.

"Ia mengatakan ada seorang pelanggan wanita yang memakai gelang merah jambu dikhaskan untuk orang di kuarantin berkaitan Covid-19 datang makan di restoran miliknya.

"Selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran, didapati pelanggan berkenaan bukan memakai gelang merah jambu untuk kuarantin tetapi tag masuk ke sebuah taman tema di sini," katanya hari ini.

A Asmadi berkata, pengadu membuat laporan untuk menafikan gambar yang diviralkan dan meminta polis mengambil tindakan sewajarnya kerana perkara ini mengakibatkan imej restoran pengadu terjejas.

Terdahulu, tular di media sosial seorang wanita yang memakai gelang merah jambu PUS berlegar di sebuah kedai makan di sekitar bandar raya ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 9:53 PM