ABDULLAH (dua dari kanan) dan pegawainya menunjukkan empat suspek yang dikehendaki. FOTO Siti Rohana Idris.
ABDULLAH (dua dari kanan) dan pegawainya menunjukkan empat suspek yang dikehendaki. FOTO Siti Rohana Idris.
Siti Rohana Idris


POLIS sedang memburu empat suspek yang terbabit dalam kejadian tetak dan bakar kenderaan pada 28 serta 30 Julai lalu.

Empat lelaki yang diburu adalah Nik Kamal Riduan Ismail, 36 atau dikenali sebagai 'abe gagap'; Mohd Norfino Omar, 37; Mohd Fuad Mohd Yusof, 33 dan Muhamad Fahmi Norzere, 24.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, semua mereka dipercayai ahli kumpulan penarik kereta yang dikenali sebagai kumpulan Fuad.

"Kita percaya mereka masih berada di Kelantan dan meminta supaya tampil untuk membantu siasatan.

"Kami juga mengalu-alukan sekiranya orang ramai mempunyai maklumat mengenai mereka, boleh berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang dikehendaki kerana dipercayai ada kaitan dengan perbalahan dua kumpulan tarik kereta iaitu kumpulan Fuad dan kumpulan Kharul.

Dalam kejadian pada 28 Julai lalu, seramai 15 lelaki dipercayai dari kumpulan Fuad membakar sebuah kereta, memecahkan cermin dua kereta dan melarikan tiga motosikal di hadapan rumah di Jalan Pasir Putih, Kota Bharu.

Kenderaan yang mengalami kerosakan ialah Mitsubishi Triton, Perodua Myvi dan Mini Cooper, manakala motosikal Yamaha Y15ZR serta Yamaha Ego dilarikan.

Kesemua kenderaan itu adalah yang ditarik oleh kumpulan Khairul.

Susulan kejadian serangan itu, seorang ahli kumpulan Fuad, iaitu adiknya yang berusia 32 tahun ditetak dan ditemui terbaring di hadapan sebuah stor barangan besi buruk di Kampung Padang Enggang, pada 30 Julai lalu.

Abdullah berkata, daripada dua kejadian itu, seramai 19 individu berusia 20 hingga 37 tahun sudah ditahan.

"Kita mengharapkan empat lagi ahli kumpulan Fuad termasuk ketuanya itu dapat ditahan segera sekali gus kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 1:57 PM