Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Amin Jalil


TAKTIK panggilan telefon daripada 'pegawai polis' terus menjadi taktik terbaik penipuan oleh sindiket Macau Scam apabila seorang eksekutif di Seremban, kerugian RM419,012.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, terdahulu, mangsa yang juga wanita berusia 39 tahun menerima panggilan daripada 'Sarjan Azliza Ad Zaini' daripada Balai Polis Trafik Seremban, jam 12 tengah hari pada 21 Mei lalu.

"Pemanggil mendakwa mangsa terbabit kes kemalangan jalan raya di Seri Kembangan, Selangor dan menyebabkan mangsa kemalangan terbabit meninggal dunia pada 18 Mei lalu.

"Mangsa menafikannya sebelum panggilan disambung 'Inspektor Chong Kok Sin' yang memaklumkan mangsa turut terbabit dengan pengubahan wang haram berjumlah RM23 juta di Sabah," katanya hari ini.

Menurut beliau, mangsa kemudiannya diminta membuka akaun bank baharu.

Mangsa kemudiannya melakukan 12 transaksi bermula 22 Mei hingga 25 Jun lalu ke akaun berkenaan dengan keseluruhan RM419,012.

"Pada 5 Ogos lalu, mangsa ke bank untuk melakukan semakan dan mendapati akaun berkenaan hanya berbaki RM102.50.

"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 2:22 PM