Siti Rohana Idris


SERAMAI 19 individu termasuk tiga wanita ditahan membabitkan dua kumpulan penarik kereta berhubung kejadian tetak dan bakar kenderaan, bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, enam suspek ditahan pada 30 Julai dan 5 Ogos, manakala 13 lagi ditahan di Pendang, Kedah, pada 7 pagi hari ini.

Abdullah berkata, 'permusuhan' dua kumpulan penarik kereta yang dikenali sebagai kumpulan Fuad dan kumpulan Khairul itu bermula pada 28 Julai lalu apabila berlaku satu serangan di hadapan sebuah rumah di Jalan Pasir Putih, Kota Bharu, pada 4 pagi.

"Seramai 15 lelaki dipercayai dari kumpulan Fuad ke lokasi dengan menutup muka dan bersenjatakan 11 bilah pedang serta dua objek menyerupai pistol memecahkan cermin dua kereta dan membakar sebuah kereta sebelum melarikan tiga motosikal.

"Bagaimanapun, tiada tembakan dilepaskan. Di dalam rumah terbabit terdapat empat lelaki dan dua wanita yang dipercayai ahli kumpulan Khairul," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Abdullah berkata, susulan serangan itu, berlaku satu pergaduhan pada 30 Julai di Kampung Padang Enggang, Jalan Pasir Hor yang mana seorang lelaki parah akibat ditetak.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mangsa berusia 32 tahun yang juga adik kepada ketua kumpulan Fuad putus tiga jari kiri dengan 40 kesan tetakan di seluruh badan.

"Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di hadapan stor barangan besi buruk dengan kesan tetakan di seluruh badan dan kini sedang dirawat di sebuah hospital di Kota Bharu," katanya.

Abdullah berkata, dua kejadian itu dipercayai bermula apabila kenderaan milik teman wanita ahli kumpulan Fuad ditarik ahli kumpulan Khairul namun pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung motif kejadian.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan balas dendam.

"Semua yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 37 tahun dan direman secara berperingkat bermula 30 Julai hingga hari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan (KK), 427 KK, 379A KK, 326KK dan 148KK," katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Abe Gagap', 3 ahli kumpulan Fuad diburu
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 2:26 PM