HABIBI (tengah) menunjukkan dua laras senjata api buatan sendiri jenis ginsuk yang dirampas. FOTO JUWAN RIDUAN
HABIBI (tengah) menunjukkan dua laras senjata api buatan sendiri jenis ginsuk yang dirampas. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


POLIS menahan seorang lelaki dan merampas dua senapang buatan sendiri dikenali ginsuk di Kampung Kionsom Kecil, Inanam, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, senjata api buatan sendiri itu ditemukan dalam sebuah bengkel kimpalan, kira-kira 10 meter dari lokasi suspek ditahan di pondok menunggu bas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, awal, suspek berusia 19 tahun itu mengaku memiliki senjata berkenaan selepas diwarisi daripada arwah datuknya.

"Suspek turut mengaku menggunakan senjata itu untuk menembak burung di dalam hutan di kampung berkenaan dan kali terakhir menggunakannya pada bulan lalu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui daripada mana senjata itu diperoleh oleh suspek dan apa tujuan pemilikan senjata berkenaan.

"Suspek kini ditahan reman sehingga 7 Ogos depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960," katanya.

Sementara itu, Habibi menasihati orang awam yang memiliki senjata api buatan sendiri supaya menyerahkan kepada polis.

"Memiliki senjata api buatan sendiri bukan saja salah di sisi undang-undang tetapi juga boleh mendatangkan kecederaan dan kematian sekiranya disalah guna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 2:39 PM