MOHD Shafie. FOTO BERNAMA
MOHD Shafie. FOTO BERNAMA
BERNAMA

KERAJAAN Sabah memutuskan untuk memperketatkan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menunjukkan bilangan kumulatif kes positif Covid-19 pada 25 Julai lalu adalah 384 kes dan meningkat kepada 402 kes, iaitu pertambahan 18 kes pada Selasa lalu.

Mohd Shafie berkata, bilangan kes positif Covid-19 yang masih dirawat di hospital di seluruh negeri bagi tempoh itu meningkat empat kali ganda iaitu daripada empat kes kepada 16 kes.

"Kerajaan negeri memandang serius peningkatan kes positif ini dan khuatir penularan pandemik akan terus meningkat sekiranya tindakan kawalan tidak diperketatkan.

"Justeru, pihak berwajib hendaklah meningkatkan penguatkuasaan SOP, selain orang ramai diwajibkan memakai pelitup muka di tempat awam dan kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi tangan serta sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shafie berkata, pengusaha premis perniagaan juga hendaklah mengehadkan bilangan pelanggan di dalam premis pada satu-satu masa dan jumlah itu bergantung kepada saiz premis serta memastikan laluan keluar masuk berasingan, selain memperketatkan saringan kesihatan.

Katanya, jumlah kehadiran dalam majlis sosial dan rasmi juga perlu dihadkan kepada 150 orang bagi tempoh maksimum tiga jam dengan hidangan makanan secara pek atau dihidangkan oleh pramusaji, selain pemilik atau pengusaha premis melaksanakan proses sanitasi lebih kerap.

"Kerajaan negeri menggesa pihak berwajib supaya memperluaskan liputan ujian saringan Covid-19 secara rawak kepada semua lapisan masyarakat dan bukan hanya berdasarkan golongan dikenal pasti berisiko.

"Sekiranya perlu, ujian saringan Covid-19 di pintu masuk melalui udara, laut dan darat ke Sabah hendaklah dikuatkuasakan semula," katanya dan mengingatkan rakyat Sabah untuk mengelakkan semua perjalanan dan aktiviti luar tidak perlu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 3:06 PM