MOHD Shahar Abdullah di Dewan Rakyat, hari ini.
MOHD Shahar Abdullah di Dewan Rakyat, hari ini.
BERNAMA

RANG Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Rang undang-undang yang dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah itu bertujuan mengadakan peruntukan bagi langkah-langkah sementara berhubung pembiayaan kerajaan untuk mengurangkan kesan Covid-19.

Ia termasuk menaikkan had amaun bagi jumlah amaun wang boleh didapati di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983, bagi menubuhkan Kumpulan Wang Covid-19.

Ia juga bertujuan membenarkan wang tersebut digunakan untuk program di bawah pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi serta peruntukan bagi perkara berkaitan.

Sejumlah RM45 bilion diperuntukkan di bawah pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi dengan program subsidi upah, insentif pengekalan pekerjaan dan pengambilan pekerja serta bantuan latihan menerima dana tertinggi berjumlah RM16.8 bilion.

Ia juga membabitkan RM11.2 bilion bagi Bantuan Prihatin Nasional; projek berskala kecil (RM4 bilion); masing-masing RM2 bilion untuk program kemahiran dan peningkatan kemahiran serta Pembiayaan PKS Penjana selain Geran Prihatin PKS (RM1.9 bilion).

Selain itu, sejumlah RM500 juta bagi diskaun bil elektrik; bantuan khas pelajar institusi pendidikan tinggi (RM300 juta) dan subsidi pengangkutan awam MY30 (RM200 juta).

Mohd Shahar memaklumkan bacaan kali kedua RUU berkenaan akan dibentang pada persidangan kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 3:49 PM