Muhaamad Hafis Nawawi


KERAJAAN bersetuju untuk meneruskan penganjuran Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2020 di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS) pada November ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas juga bersetuju secara dasar dengan cadangan penganjuran MAHA 2020.

Menurutnya, MAHA 2020 akan diadakan pada 26 hingga 29 November 2020 secara hybrid iaitu fizikal dan maya (virtual).

"Pihak MAEPS akan menyediakan garis panduan yang perlu dipatuhi bagi tujuan penganjuran itu.

"Antara garis panduan yang perlu dipatuhi termasuk hanya peserta yang diberi kad jemputan sahaja dibenarkan masuk dan kehadiran perlu direkodkan," katanya ketika sidang media Covid-19 di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail Sabri berkata, peserta antarabangsa pula hanya dibenarkan terbabit secara dalam talian (online).

"Prosedur operasi standard (SOP) perancangan dan pelaksanaan akan diperhalusi serta dibincangkan lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal," katanya.

MAHA 2020 akan diadakan pada 26 hingga 29 November 2020 secara hybrid iaitu fizikal dan maya (virtual). FOTO Arkib NSTP
MAHA 2020 akan diadakan pada 26 hingga 29 November 2020 secara hybrid iaitu fizikal dan maya (virtual). FOTO Arkib NSTP

Beliau berkata, kerajaan juga akan melaksanakan kempen Pembudayaan Norma Baharu yang akan dirasmikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Ogos ini di Kompleks Sukan Pagoh.

"Pada masa yang sama, Perdana Menteri akan melancarkan logo dan tagline kempen serta buku pembudayaan norma baharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 3:50 PM