X
ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Yusmizal Dolah Aling


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas pelbagai barangan bersubsidi yang cuba diseludup bernilai RM82 juta sejak empat tahun lalu.

Rampasan itu membabitkan 2,297 kes yang disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dalam tempoh berkenaan.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, antaranya termasuk diesel, petrol, gas gula dan tepung gandum.

Katanya, kementeriannya melalui bahagian penguat kuasa akan sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang aktiviti penyeludupan berkenaan.

"Antara langkah diambil adalah melaksanakan risikan di lokasi tertentu di sempadan negara, melaksanakan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi lain.

"Ia termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem), Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta semakan ke atas syarikat pemegang lesen barangan kawalan," katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu beliau berkata, pihaknya sedang mengkaji untuk menawarkan pakej rangsangan francais dengan kos modal pelaburan yang bersesuaian.

Katanya, ia merangkumi fi francais, kos ubah suai dan peralatan, stok permulaan serta latihan.

"Kami berharap cadangan itu dapat menarik ramai belia untuk menceburi bidang perniagaan francais pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 4:02 PM