Muhaamad Hafis Nawawi


KEDEGILAN orang ramai tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan seramai 121 individu ditahan kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 32 individu direman manakala dua individu dijamin dan 87 individu lagi dikenakan kompaun.

Menurutnya, antara kesalahan yang dilakukan termasuk premis beroperasi lebih masa dengan satu kes, aktiviti membabitkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (59 kes), aktiviti yang melanggar SOP (54 kes), melanggar SOP kuarantin rumah (3 kes) dan aktiviti judi dalam talian (2 kes).

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Task Force Operasi Pematuhan membabitkan 5,024 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 17,402 anggota juga membuat 65,911 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP.

"Sebanyak 4,366 pasar raya; 5,848 restoran serta 1,218 penjaja dan 597 pasar awam/tani, 640 tempat ibadah serta 1,404 tempat riadah turut diperiksa," katanya ketika sidang media Covid-19 di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail Sabri berkata, anggota Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan.

"Ini termasuk pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak seperti di pasar atau pusat membeli belah dan di dalam pengangkutan awam.

"Kerajaan berharap rakyat akan terus menjadi mata dan telinga bagi pihak berkuasa untuk melaporkan apa-apa tindakan yang melanggar SOP," katanya.

Mengulas mengenai Op Benteng, beliau berkata, PDRM berjaya menahan dua warga asing di di sekatan jalan raya (SJR) atas kesalahan imigresen.

"Semalam, PDRM juga membuat 63 SJR dan memeriksa 35,471 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terbabit dalam penyeludupan masuk PATI," katanya.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 4:49 PM