X
Amir Mamat


SEORANG pemandu lori dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku salah mencabul anak saudaranya yang dipeliharanya sejak kecil.

Pengakuan itu dibuat tertuduh berusia 42 tahun di hadapan Hakim Norma Ismail, sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati melakukan kesalahan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya yang berusia 13 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didapati memaksa mangsa yang sama memegang kemaluannya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh masuk ke bilik mangsa sebelum melakukan amang seksual terhadap mangsa dan kejadian itu sering dilakukan ketika isteri tertuduh tiada di rumah.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan pada akhir April lalu di sebuah rumah di Taman Tanjung Minyak di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun selain sebatan.

SEORANG pemandu lori dijatuhi penjara tujuh tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku bersalah. FOTO Iqmal Haqim Rosman
SEORANG pemandu lori dijatuhi penjara tujuh tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku bersalah. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung anak yang masih kecil selain orang tua yang sudah uzur.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim, bagaimanapun memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira tertuduh mengambil kesempatan sebagai penjaga dan perbuatan terkutuk yang dilakukan itu hanya terbongkar selepas pelajar tingkatan satu itu mengadu kepada guru agama di sekolahnya.

Mazuin berkata, mangsa juga pernah beberapa kali cuba mengadu kepada ibu angkatnya, iaitu isteri tertuduh, namun usahanya hanya sia-sia.

Sejurus mendengar hujahan kedua pihak, Norma pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan bermula daripada tarikh lelaki itu ditangkap iaitu pada 22 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 4:59 PM