X
DEEPAK Jaikishan. FOTO Arkib NSTP.
DEEPAK Jaikishan. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi hari ini menolak permohonan ahli perniagaan, J R Deepak Jaikishan bagi memasukkan nama bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan tujuh yang lain sebagai pihak ketiga dalam kes saman difailkan keluarga penyiasat persendirian, mendiang P, Balasubramaniam.

Peguam David Mathews, mewakili Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, memberitahu pemberita Pesuruhjaya Kehakiman, Quay Chew Soon membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan itu dalam kamar.

Selain Najib dan Rosmah, individu lain adalah adik-beradik Najib, Datuk Mohd Nazim dan Datuk Ahmad Johari, peguam Tan Sri Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Arulampalam Mariampillai serta Pesuruhjaya Sumpah, Zainal Abidin Muhayat.

Mathews berkata, mahkamah membuat keputusan itu atas alasan Deepak gagal menimbulkan kes prima facie dan permohonan beliau kekurangan butiran.

"Hakim juga memutuskan Deepak membuat pernyataan tidak konsisten dalam afidavit sebelumnya yang bercanggah dengan ketegasan dalam permohonan ini.

"Mahkamah juga memberikan jumlah kos RM15,000 kepada Najib dan isteri; RM15,000 lagi kepada Cecil dan Sunil dan masing-masing RM10,000 kepada Ahmad Johari, Mohd Nazim, Arulampalam dan Zainal," katanya.

Deepak diwakili peguam Datuk RK Nathan dan K. Vinod.

Kesemua lapan individu, yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan dalam kes saman itu kecuali Deepak memfailkan permohonan untuk membatalkan saman dikemukakan balu Balasubramaniam, A Santamil Selvi dan tiga anaknya, Kishen, Menaga dan Reeshi.

Pada 30 Januari 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan lapan defendan itu untuk membatalkan saman berkenaan.

Bagaimanapun, defendan berjaya dalam rayuan mereka selepas Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Deepak kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk memasukkan lapan individu terbabit dalam saman itu.

Pada 23 Julai 2017, Santamil Selvi bersama tiga anaknya selaku plaintif memfailkan saman kedua bagi pihak mendiang dengan menamakan lapan individu termasuk Deepak sebagai defendan.

PI Bala adalah saksi utama dalam perbicaraan kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

PI Bala meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2013, beberapa minggu selepas pulang dari India.

Dalam penyataan tuntutan, Santamil Selvi dan anaknya mendakwa mereka terpaksa hidup dalam buangan di India selama 56 bulan mulai 4 Julai 2008 selepas pendedahan Balasubramaniam dalam akuan bersumpah keduanya dalam kes pembunuhan Altantuya.

Plaintif memohon ganti rugi berjumlah RM840,000 termasuk kos menyewa sebuah apartmen di Chennai, India, yuran sekolah dan kehilangan pendapatan sebagai guru tadika, pinjaman perumahan, kos pengangkutan, ganti rugi am, ganti rugi khas dan kos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 5:31 PM