PATI dibawa menaiki Mitsubishi Pajero sebelum ditangkap anggota PGA9 di Kampung Tok Bilal, Panyit, di sini, semalam. FOTOIHSAN PGA9
PATI dibawa menaiki Mitsubishi Pajero sebelum ditangkap anggota PGA9 di Kampung Tok Bilal, Panyit, di sini, semalam. FOTOIHSAN PGA9
Syaherah Mustafa


DUA lelaki warga tempatan dipercayai tekong yang berada dalam pengaruh dadah ditangkap ketika membawa enam pendatang asing tanpa izin (Pati) di Kampung Tok Bilal, Panyit, Machang, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 Pasukan Gerakan Am Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, dalam kejadian jam 6 petang, anggotanya membuat rondaan dengan menaiki pacuan empat roda sebelum terserempak kenderaan Mitsubishi Pajero di Kampung Bukit Tandak, Rantau Panjang.

Katanya, anggotanya kemudian mengarahkan pemandu kenderaan berkenaan berhenti namun tidak diendahkan sebaliknya memecut laju menghala ke Tanah Merah dan Machang.

"Anggota kami mengejar kenderaan terbabit sebelum pemandunya memberhentikan kenderaan di bahu jalan, kemudian dua lelaki cuba melarikan diri namun berjaya dikejar anggota bertugas.

"Pemeriksaan ke atas lelaki terbabit tidak menemui sebarang barangan yang salah. Bagaimanapun hasil pemeriksaan itu menemui empat wanita dan dua lelaki warga Myanmar dipercayai Pati.

"Hasil siasatan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan disyaki memasuki negara mengikut jalan salah melalui pangkalan haram sepanjang sempadan di Sungai Golok," katanya.

Nor Azizan berkata, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas dua lelaki warga tempatan yang juga tekong itu menunjukkan mereka positif dadah jenis methaphetamine.

"Kesemua PATI termasuk dua tekong terbabit ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Machang untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26 (J) Atipsom 2012, Sekyen 6(1)(C) Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pihak kami turut merampas kenderaan yang digunakan untuk penyeludupan dan nilai keseluruhan rampasan kes terbabit ialah RM50,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 6:14 PM