X
NAJIB ketika hadir bagi perbicaraan kes rasuah dan penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
NAJIB ketika hadir bagi perbicaraan kes rasuah dan penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi, hari ini diberitahu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mencadangkan supaya Mohd Hazem Abdul Rahman dilantik sebagai pengarah eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2012.

Nama Mohd Hazem muncul buat pertama kali dalam perbicaraan kes rasuah 1MDB membabitkan RM2.3 bilion yang dihadapi Najib semasa peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed memeriksa balas saksi pendakwaan kesembilan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Shahrol Azral berkata, beliau pertama kali menerima biodata atau curriculum vitae (CV) Mohd Hazem menerusi ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low pada 2012.

"Jho Low memberitahu saya Mohd Hazem dicadangkan oleh bekas setiausaha peribadi utama Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias. Najib secara peribadi menulis satu nota yang dikepilkan pada CV itu menyatakan 'Hazem akan dilantik sebagai pengarah eksekutif 1MDB'.

"Saya ingin menjelaskan bahawa tiada pengarah eksekutif dalam 1MDB pada ketika itu dan saya mencadangkan (Mohd Hazem) dilantik sebagai ketua pegawai operasi (COO). Apabila beliau dilantik sebagai COO, saya akan pertanggungjawabkan beliau untuk memantau bahagian hartanah 1MDB," kata saksi berusia 50 tahun itu.

Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa Artikel 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan 1MDB menetapkan bahawa perkara tertentu termasuk pelaburan, penstrukturan semula dan kuasa untuk pengambilan dan pemecatan pekerja perlu mendapat kelulusan Najib selaku perdana menteri.

Kepada soalan lain diajukan Wan Aizuddin, Shahrol Azral bagaimanapun tidak dapat mengesahkan jika lembaga pengarah meluluskan pelantikan Mohd Hazem tetapi terdapat surat berhubung perkara itu daripada Najib.

Apabila pada 2013 Sharol Azral ditukarkan ke Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), yang kini tidak lagi wujud, jawatannya sebagai CEO dan pengarah urusan 1MDB diisi oleh Mohd Hazem.

Pada 2015, Mohd Hazem meletak jawatan sebagai CEO 1MDB dan beliau digantikan oleh Arul Kanda Kandasamy.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 6:15 PM