Suspek direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kota Samarahan hari ini.
Suspek direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Kota Samarahan hari ini.
Oleh Melvin Joni


SEORANG pekerja kilang ditahan kerana disyaki merogol anak tirinya berusia 11 tahun di Kota Samarahan, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Sudirman Kram berkata, suspek berusia 41 tahun itu ditahan di tempat kerjanya di sebuah kilang di Kota Samarahan susulan laporan polis yang dibuat ibu saudara mangsa di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Samarahan pada Selasa lalu.

"Mangsa mengadu kepada ibu saudaranya bahawa dia dirogol oleh bapa tirinya.

"Kali pertama dan kedua berlaku di bilik tidur rumah pekerja di sekitar kawasan Batu 9, Kota Samarahan.

"Manakala kali ketiga berlaku di dalam kereta di kawasan Batu 9, Kota Samarahan dan kali terakhir berlaku semasa Hari Raya Aidilfitri lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sudirman, mangsa dijaga dan tinggal bersama neneknya di Petra Jaya dan bersekolah di Petra Jaya.

"Mangsa hanya sesekali dibawa tinggal bersama ibu dan bapa tirinya dan pada waktu itulah kesempatan diambil oleh suspek untuk merogol mangsa," katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana merogol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 6:21 PM