DATUK Azhar Azizan Harun. FOTO Bernama
DATUK Azhar Azizan Harun. FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling


SPEAKER Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun menangguhkan persidangan hari ini ketika ahli Yang Berhormat (YB) sedang 'bergasak' isu kehilangan hasil kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ia susulan dewan yang sedang gamat apabila ahli Parlimen saling berbalas asakan selepas Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan keputusan kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tidak pernah dibawa ke Kabinet.

Menurutnya, ia seperti mana laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tahun lalu yang dibentangkan di Parlimen.

"PAC sudah pun menjalankan siasatan ke atas tuduhan yang dibuat tadi.

"Ini saya nak rumuskan antara lain, bahawa tidak ada kehilangan hasil dalam kutipan hasil GST," katanya disambut sorakan ahli Parlimen Kerajaan di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beberapa wakil rakyat pembangkang terus bangun memberikan reaksi kepada kenyataan itu.

Azhar sebelum itu memberi dua kali amaran kepada mereka termasuk Lim Guan Eng (DAP-Bagan).

Ketika dewan sedang gamat dengan suara ahli Parlimen, Azhar menangguhkan persidangan dan akan disambung semula pada Isnin ini.

Tengku Zafrul mendapat pujian daripada beberapa ahli Parlimen kerana berbahas dengan baik walaupun kali pertama menggulung bagi pihak kementeriannya di Dewan Rakyat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 8:15 PM