ULUMAH bersama Nur Azura di kediaman keluarga di Kampung Maju Jaya, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini.
ULUMAH bersama Nur Azura di kediaman keluarga di Kampung Maju Jaya, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini.
Nurul Amanina Suhaini


"ALLAH pinjamkan Azura buat saya sekeluarga," kata Ulumah Pakse, 58, yang menjadi penjaga sementara kepada bayi perempuan dikenali Nur Azura, berusia kira-kira enam bulan.

Ulumah bersama suaminya, M Nasir Masjuri, 56, kini sedang mengesan ibu kandung bayi itu bagi melancarkan urusan dokumentasi termasuk proses pengambilan anak angkat.

"Seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai Jannah, 30-an, menyerahkan bayi perempuannya bersama susu dan botol pada 12 Jun lalu dengan alasan ingin mencari kerja bersama suaminya.

"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia mendakwa hilang pekerjaan dan tiada punca pendapatan.

"Namun, empat hari kemudian (15 Jun) ibunya tidak muncul. Usaha untuk menjejakinya tidak berhasil apabila telefon tidak dapat dihubungi, malah kediaman pasangan berkenaan yang terletak di atas bukit belakang kebun sawit juga kosong tidak berpenghuni.

"Kini, saya sudah mula sayangkannya. Biarlah dia (Azura) bersama saya di rumah ini, saya takut kalau dia diletakkan di pusat jagaan, saya tidak dapat bertemunya kembali," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Maju Jaya, dekat Johor Bahru, hari ini.

Ulumah berkata, dia sudah membuat laporan polis dan memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenai bayi itu.

"Saya berharap menerusi hebahan ini, proses pengambilan anak angkat dapat dibuat secara sah, sekali gus memberi Azura kehidupan lebih baik dan membesar seperti kanak-kanak lain," katanya yang mempunyai lapan anak berusia 16 hingga 32 tahun termasuk dua daripada mereka sudah berkahwin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 11:56 AM