GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


SEORANG lelaki warga Bangladesh dibelasah menggunakan buku lima dan diacu parang di bahagian leher oleh sekumpulan warga Indonesia kerana membuat aduan jirannya bising dalam kejadian di Meru, Klang, Rabu lalu.

Mangsa berusia 32 tahun dan bekerja sebagai tukang cuci, cedera di muka serta badan selain diperas ugut RM5,000 oleh tujuh suspek berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kejadian itu diketahui apabila mangsa menghubungi seorang lelaki berusia 68 tahun yang juga pemilik rumah sewanya pada jam 11.15 malam.

"Siasatan mendapati mangsa diserang ketika membuka pintu rumahnya selepas pulang daripada kerja.

"Kumpulan suspek berkenaan turut meminta wang RM5,000 sekiranya mangsa mahu dilepaskan namun mangsa hanya memberikan RM900 sahaja.

"Suspek yang tidak berpuas hati kemudiannya meminta mangsa mencari baki wang itu sebelum lelaki warga Bangladesh itu menghubungi pemilik rumah sewanya meminta bantuan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu yang bimbang dengan keadaan mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an ditahan di sekitar daerah ini.

Katanya, polis turut merampas senjata digunakan suspek dan menemui barangan milik mangsa semula.

"Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian akibat tidak puas hati selepas mangsa membuat aduan tentang rumah kumpulan suspek itu yang seringkali berbuat bising di awal pagi sehingga mengganggu ketenteraman awam penduduk," katanya.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tujuan pemeriksaan dan rawatan selanjutnya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (ABKLSB 1958).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 6:04 PM