Juwan Riduan

PENAHANAN suami isteri di Jalan Lok Kawi-Putatan di Kota Kinabalu, jam 4.45 petang kelmarin, membawa kepada penemuan dadah jenis syabu seberat 2.02 kilogram bernilai RM80,000.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Mazli Mazlan berkata, hasil risikan, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah membuat pemerhatian terhadap sebuah Toyota Vios yang berhenti di tepi jalan berkenaan.

"Suspek lelaki yang berusia 43 tahun kemudiannya membuka bonet kereta manakala isterinya yang berumur 34 tahun duduk dibahagian penumpang hadapan.

"Anggota kami menghampiri kedua-dua suspek, pemeriksaan terhadap kereta itu menemui satu plastik berisi dua bungkus syabu seberat 2,020 kilogram.

"Kami turut menyita wang RM1,100," katanya pada sidang media di IPK Sabah hari ini.

Turut hadir Ketua JSJN IPK Sabah Superintendan Ahmad Jawila dan Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Mazli berkata, hasil siasatan mendapati, suspek memperoleh bekalan dadah daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an dan menetap di Labuan.

MAZLI (tengah) menunjukkan dadah syabu seberat 2,020 gram yang dirampas susulan penahanan suami isteri di Putatan. FOTO Juwan Riduan
MAZLI (tengah) menunjukkan dadah syabu seberat 2,020 gram yang dirampas susulan penahanan suami isteri di Putatan. FOTO Juwan Riduan

Katanya, suspek juga aktif mengedar dadah sejak awal tahun lalu.

"Siasatan dan risikan lanjut masih giat dijalankan untuk mengesan pembekal dalam berkenaan.

"Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 12 Ogos ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 6:12 PM