RUMAH ibadat bukan Islam di Negeri Sembilan yang ingin menganjurkan majlis atau aktiviti perayaan tahunan diwajibkan memaklumkan balai polis berhampiran.
RUMAH ibadat bukan Islam di Negeri Sembilan yang ingin menganjurkan majlis atau aktiviti perayaan tahunan diwajibkan memaklumkan balai polis berhampiran.
Mohd Amin Jalil


PENGURUSAN rumah ibadat bukan Islam di Negeri Sembilan yang ingin menganjurkan majlis atau aktiviti perayaan tahunan diwajibkan memaklumkan balai polis berhampiran.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J Arul Kumar berkata, pengurusan pusat ibadat juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, ia termasuk jumlah atau bilangan individu yang hadir dalam program berkenaan dengan mengambil kira penjarakan fizikal satu meter.

"Mereka perlu memaklumkan program yang ingin dibuat kepada balai polis supaya pemantauan dapat dilakukan pihak berkuasa berkenaan.

"Setakat semalam, sebanyak 276 rumah ibadat bukan Islam di seluruh negeri diberi kebenaran untuk beroperasi semula, namun setiap aktiviti yang dijalankan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Seremban, hari ini.

Pada 15 Jun lalu, Kementerian Perpaduan Negara mengeluarkan kenyataan mengenai rumah ibadat bukan Islam, walaupun dibenarkan beroperasi, ia masih tertakluk kepada peraturan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), MKN, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri.

Kenyataan itu juga menyebut, operasi pusat itu adalah dengan had kapasiti satu per tiga daripada bilangan penganut bagi dewan atau ruang beribadat serta amalan penjarakan sosial.

Dalam pada itu, Arul yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, berkata kerajaan negeri memperuntukkan bantuan kewangan sebanyak RM1.7 juta bagi menyalurkan

kepada pertubuhan keagamaan dan rumah ibadat bukan Islam di negeri itu, tahun ini.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak RM952,000 peruntukan itu sudah diagihkan kepada sebahagian pertubuhan berkenaan dan sebahagian yang lain akan diagihkan dalam tempoh terdekat.

"Bantuan ini bertujuan meringankan beban pertubuhan dalam melaksanakan program dan kerja menaik taraf tempat ibadat berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 6:46 PM