TUN Mohd Ali (kiri) bersama Soh Chin Aun (kanan) memotong kek hari jadi ke 105 tahun Soh Tee Tong, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
TUN Mohd Ali (kiri) bersama Soh Chin Aun (kanan) memotong kek hari jadi ke 105 tahun Soh Tee Tong, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat

BERUSIA 105 tahun bukan penghalang buat Soh Tee Tong untuk kekal sihat dan bertenaga dalam melakukan urusan harian.

Hampir setiap pagi, Tee Tong yang juga bapa kepada legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun berjoging di sekitar taman perumahan kediamannya, di Jalan Lama, Bandar Alor Gajah, Melaka.

Menurut Chin Aun, 70, setiap pagi bapanya melakukan senaman ringan dan joging kira-kira 30 minit selain mengamalkan pemakanan sihat.

"Bapa tidak pernah mengambil ubat tradisional atau herba, malah saya bersyukur kerana dia tidak mengalami sebarang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau jantung.

"Bagaimanapun, dia mempunyai penyakit gastrik yang menghalangnya daripada memakan makanan pedas," katanya selepas menerima kunjungan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.

Hadis sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia yang juga ahli EXCO negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis serta ahli perniagaan, Datuk Yap Yong Leong.

Dalam kunjungan itu Tee Tong turut diraikan sempena sambutan hari ulang tahun kelahirannya pada 29 Julai lalu.

Chin Aun berkata, bapanya dilahirkan pada 29 Julai 1916 dan pernah menjalankan perniagaan kedai runcit di Pekan Alor Gajah.

Katanya, menerusi aktiviti perniagaan itu, semua lapan adik-beradiknya membesar dengan baik sehingga berjaya dalam lapangan masing-masing.

"Selepas kematian ibu (Lee Kim Yeok) sejak 25 tahun lalu, bapa kini dijaga abang saya, Soh Chin Seng dan kami adik-beradik lain akan sentiasa berhubung dengan abang untuk bertanya khabar bapa," katanya berbesar hati apabila bapanya dikunjungi Tun Mohd Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 7:30 PM