Hishammuddin Hussein ketika berucap di sambutan ulang tahun ke-53 penubuhan ASEAN di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Hishammuddin Hussein ketika berucap di sambutan ulang tahun ke-53 penubuhan ASEAN di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Noor Atiqah Sulaiman


JEMAAH menteri bersetuju memberi bantuan kepada Lubnan yang menghadapi insiden letupan dahsyat di sebuah gudang di pelabuhan ibu negara itu di Beirut.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, bagaimanapun jenis bantuan diberikan negara ini kepada Lubnan hanya diputuskan dan diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa terdekat.

"Perdana Menteri bersetuju untuk kita salurkan bantuan kepada Lubnan dan serahkan kepada kementerian ini untuk memberikan sumbangan terbaik.

"Saya juga diminta sampaikan laporan kepada Perdana Menteri malam ini berkait apa bentuk sumbangan kita untuk salurkan kepada Lubnan," katanya kepada pemberita dalam sidang media, di Putrajaya, hari ini.

Hishammuddin berkata, susulan itu pihaknya sudah berhubung langsung dengan perwakilan Malaysia di Lubnan bagi mendapatkan maklumat apa yang diperlukan di negara terbabit.

"Lebih baik kita mendapatkan maklumat daripada mereka yang berada di sana dan mendapat maklum balas daripada pihak Lubnan sendiri. Kita juga ada anggota tentera dan ini sedang diuruskan," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mengesahkan mengesahkan semua rakyat Malaysia di Beirut dilaporkan selamat.

Selasa lalu, media melaporkan Beirut digegarkan dengan letupan berpunca daripada nyalaan api membakar 2,750 gas ammonium nitrat yang disimpan dalam gudang di pelabuhan berkenaan.

Insiden itu meragut lebih 130 nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya 5,000 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 8:08 PM