GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KLUSTER Sivagangga terus merekodkan peningkatan kes selepas 12 kes lagi positif disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 10 individu positif dilaporkan di Perlis menjadikan 11 kes direkodkan dari kluster berkenaan dari negeri itu.

Menurutnya, semua kes ini yang dilaporkan di Perlis adalah daripada satu keluarga membabitkan generasi kedua serta ketiga dan kini dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah untuk rawatan lanjut.

"Bagi satu kes masing-masing di Kedah dan Pulau Pinang pulang ke kampung halaman yang menjadi kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco).

"Saringan dengan kontak rapat yang positif serta aktiviti kes aktif diteruskan dan langkah pencegahan seperti nyah kuman dijalankan di kawasan yang berkait rapat dengan kluster berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, KKM akan memantau perkembangan jangkitan di dalam dan luar negara melalui maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Kluster Sivagangga dianggap sebagai 'Super Spreader' kerana cepat menular bermula selepas seorang pemastautin tetap yang juga pemilik restoran nasi kandar di Napoh pulang ke Malaysia dari Sivagangga di India pada 13 Julai lalu.

Saringan Covid-19 di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dilakukan terhadap lelaki terbabit pada mulanya negatif.

Dia kemudian diarah menjalani perintah kuarantin di rumah tetapi tidak mematuhi perintah berkenaan sebelum saringan ulangan didapati positif dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar di Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 8:41 PM