Maiamalina Mohamed Amin dan Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan media massa sebagai barisan hadapan dalam menyampaikan berita tepat dan terkini mengenai pandemik Covid-19 walaupun berdepan risiko.

Katanya, negara ketika ini tidak hanya berperang dengan ancaman wabak membawa maut itu, sebaliknya penyebaran maklumat palsu yang memburukkan lagi keadaan.

"Saya mahu menyampaikan penghargaan saya kepada seluruh kakitangan media yang bertugas walaupun berhadapan risiko menjadi barisan hadapan untuk menyampaikan maklumat yang cepat dan tepat kepada rakyat Malaysia.

"Terima kasih kepada semua media perdana kerana menjadi sumber rujukan utama untuk berita tepat dan benar," katanya ketika berucap melancarkan Pameran Ulang Tahun New Straits Times (NST) ke-175 dan Khidmat Arkib Klik di Balai Berita Bangsar di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood; Pengarah Eksekutif Operasi Berita dan Editorial MPB merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Interim, The New Straits Times Press (M) Berhad Mustapha Kamil Mohd Janor; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit; Pengarang Kumpulan NST, Ahmad Lokman Mansor dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Saidon Idris.

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata, kepentingan media massa dalam pembangunan sosio, ekonomi dan kebudayaan negara tidak boleh dinafikan serta perlu diiktiraf.

Katanya, media massa memainkan peranan penting dan bertanggungjawab untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat serta menyemai keamanan yang berkekalan dalam negara.

"Peranan ini jelas selaras prinsip termaktub dalam Rukun Negara dan ia pedoman kepada pembangunan negara yang hebat, sekali gus cara hidup bagi semua warganegara tanpa sebarang perbezaan, tanpa mengira bangsa atau warna.

"Tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa media massa telah menjadi pemangkin keharmonian dan perpaduan antara kaum dalam memastikan kejayaan dan kestabilan negara kita yang tercinta ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata, media juga berperanan penting dalam Revolusi Industri 4.0 dengan kedatangan kepelbagaian platform maklumat baharu melalui media digital.

Daripada sudut lain, katanya, perubahan daripada media cetak kepada digital dilihat perlu, mengambil kira kos untuk menyimpan rekod dan arkib yang sangat tinggi.

Namun jelasnya, terdapat cabaran yang perlu dilalui media termasuk menguruskan syarikat dalam era baharu digital dan virtual.

Terdahulu, beliau berkata pameran Ulang Tahun Akhbar NST sememangnya bertepatan dengan sumbangan dan peranan yang dimainkan akhbar NST dalam membangunkan negara bersama kerajaan.

Muhyiddin turut memuji koleksi gambar dan keratan akhbar yang dipamerkan serta boleh diperoleh melalui Khidmat Arkib Klik selain berharap ia terus dipelihara untuk kegunaan generasi akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 9:30 PM