Laporan Portal Harian Metro.
Laporan Portal Harian Metro.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


PEMILIK akaun Facebook 'Siti Aminah Binti Ismail' yang dicari pihak polis hari ini sudah tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di Bagan Serai, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, wanita berusia 41 tahun itu tampil memberi keterangan jam 4. 30 petang tadi.

Menurutnya, hasil siasatan wanita berkenaan sebenarnya prihatin dan mahukan penduduk di Kuala Kurau supaya peka dengan penyakit Covid-19 yang melanda negara namun tersilap memberi maklumat.

"Wanita itu sudah tampil sendiri di IPD Kerian petang tadi dan memberi maklumat dan kerjasama kepada pihak polis berhubung kenyataan yang ditularkannya.

"Semakan polis dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sebenarnya di Kuala Kurau dan Parit Mat Ali, tiada kluster dari Singapura wujud sebaliknya terdapat penduduk dari luar Kuala Kurau yang pulang dari Singapura di kuarantin di rumah.

"Namun begitu penduduk itu bukanlah di Kuala Kurau atau di Parit Mat Ali, sebaliknya di kawasan lain manakala tempoh kuarantin sudah tamat pada 3 Ogos lalu dan hasilnya adalah negatif," katanya dalam sidang media ringkas di pejabatnya di Bagan Serai, sebentar tadi.

Omar Bakhtiar berkata, pihaknya beranggapan wanita berkenaan hanyalah tersalah berkongsi informasi dengan penduduk di Kuala Kurau namun siasatan masih lagi diteruskan.

"Berdasarkan siasatan juga penama memaklumkan bahawa dia mendapat maklumat berhubung 'kluster Singapore' itu dari ahli keluarganya yang bertugas di pejabat kesihatan.

"Pihak polis menganggap kes ini hanyalah kesilapan informasi darinya. Tiada sebarang tangkapan dibuat namun siasatan masih diteruskan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Omar Bakhtiar menegaskan bahawa penutupan bank di Bagan Serai seperti yang disiarkan Harian Metro hari ini adalah bagi proses sanitasi dan pencegahan.

Menurutnya, hasil maklumat yang diperoleh mendapati kakitangan bank itu adalah kontak rapat dengan pesakit Covid-19 ketika dia pulang ke Kedah pada hari raya Aidiladha lalu.

"Namun staff bank berkenaan bukanlah penduduk di Bagan Serai dan tidak pun hadir semula ke sini selepas dapati dirinya ada tanda-tanda awal.

"Jadi keputusan pihak bank berkenaan membuat penutup hanyalah bagi membuat langkah-langkah awal pencegahan dan tiada kakitangan bank berkenaan dijangkiti Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 10:12 PM