Balqis Jazimah Zahari


SATU portal khas diwujudkan untuk merekod data rakyat tempatan di luar negara yang hilang pekerjaan, sekali gus memudahkan penyaluran bantuan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, pengumuman mengenainya akan dibuat pada Isnin.

"Kita belum mempunyai angka jelas berapa ramai rakyat kembali dari luar negara yang sudah kehilangan pekerjaan akibat krisis kesihatan dan ekonomi.

"Jadi melalui portal khas ini, mereka yang hilang kerja boleh mendaftar," katanya selepas melancarkan Majlis Go TVET Orang Asli di Dewan Merdeka, Tapah, hari ini.

Saravanan berkata, langkah itu antara inisiatif kerajaan untuk mencari jalan membantu warganegara di luar negara khususnya mereka yang bekerja di Singapura.

"Saya dimaklumkan kira-kira 400,000 orang Malaysia yang bekerja di Singapura, sebahagian besar sudah kembali namun, kita belum mempunyai angka jelas berapa ramai yang masih lagi bekerja di sana," katanya.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, Saravanan berkata, kerajaan memberi jaminan membela nasib rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan di Singapura apabila syarikat di negara itu melakukan pembuangan pekerja akibat terjejas Covid-19.

Beliau juga dilapor mengadakan pertemuan dengan Kementerian Tenaga Manusia Singapura bagi membincangkan jalan penyelesaian terhadap pekerja Malaysia itu.

SARAVANAN bercakap pada sidang media selepas melancarkan program Go TVET Orang Asli di Dewan Merdeka Tapah. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
SARAVANAN bercakap pada sidang media selepas melancarkan program Go TVET Orang Asli di Dewan Merdeka Tapah. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 3:25 PM