TAKIYUDDIN HASSAN
TAKIYUDDIN HASSAN
Siti Rohana Idris


TIADA halangan untuk Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti politik baharu kerana semua individu ada hak untuk berpersatuan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ia juga terpulang kepada bekas perdana menteri itu untuk menubuhkan parti apapun asalkan memenuhi syarat dan diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

"Bagi kita, itu hak individu di bawah Artikel 10(1)(c) Perlembagaan iaitu hak untuk berpersatuan, itu tiada masalah dan terserah kepada Tun apa tujuan dia tubuhkan.

"Di Malaysia sahaja terdapat puluhan parti politik yang ditubuhkan termasuk ada yang tidak aktif, kerana tiada halangan bagi sesiapa sahaja untuk menubuhkannya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Jaksa Pendamai di Kota Bharu, hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau melihat parti baharu itu membawa perubahan kepada pengundi Melayu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, permohonan untuk mewujudkan parti politik baharu itu belum diluluskan lagi.

"(Tapi) ia sudah tentulah akan ada kesan. Dia (Mahathir) ada pengikutnya dan kumpulan, jadi mungkin ada perpecahan," katanya.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu yang akan mendokong dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti awal penubuhannya dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 3:30 PM