DUA penjenayah bertindak memecut laju kenderaan sebelum merempuh beberapa kenderaan dalam kejadian di Empire Damansara.
DUA penjenayah bertindak memecut laju kenderaan sebelum merempuh beberapa kenderaan dalam kejadian di Empire Damansara.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PANIK apabila kereta dinaiki diperiksa polis, dua penjenayah bertindak memecut kenderaan itu sebelum merempuh beberapa kenderaan lain di Empire Damansara di Petaling Jaya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Damansara yang menjalankan rondaan terserempak dengan sebuah kereta Mercedes-Benz dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, dua suspek tiba-tiba bertindak memecut laju kenderaan dinaiki mereka.

BARANGAN yang dirampas daripada suspek.
BARANGAN yang dirampas daripada suspek.

"Suspek turut merempuh beberapa kenderaan lain yang berada di tepi jalan, bagaimanapun mereka berjaya ditahan selepas dikejar anggota polis.

"Pemeriksaan ke atas kereta dinaiki suspek menemui dadah jenis syabu yang disorok dalam ruangan di brek tangan kenderaan dan patung yang dibawa mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 25 dan 33 tahun itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 4:22 PM