Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dan menyiasat individu termasuk ahli politik berkaitan rasuah dibuat berlandaskan lunas undang-undang negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, walaupun menerima tohmahan daripada pelbagai pihak, namun pendirian SPRM tetap teguh dengan tindakan yang diambil.

"Bagaimanapun, pihak (yang didakwa) terbabit masih mempunyai peluang di mahkamah untuk mempertahankan dirinya.

"Kami (SPRM) memang sejak dahulu dituduh begitu, namun kami tetap berpendirian teguh dengan tindakan kami," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Guan Eng, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pertuduhan ke atas Guan Eng menyebabkan terdapat beberapa pihak mempertikaikan tindakan SPRM sehingga ada yang mendakwa ia bermotifkan politik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 4:40 PM