KERETA suspek yang digunakan untuk merempuh kenderaan polis. FOTO ihsan polis
KERETA suspek yang digunakan untuk merempuh kenderaan polis. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PENJENAYAH nekad merempuh kenderaan polis untuk melepaskan diri daripada ditahan pihak berkuasa dalm kejadian di Sunway Mentari, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian pada 3.15 petang itu, lelaki berusia 21 tahun ditahan untuk pemeriksaan kerana memandu dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika cuba diperiksa lelaki berkenaan mengundurkan kereta dan merempuh kenderaan polis.

"Melihat tindakan suspek yang begitu agresif polis kemudian melepaskan dua tembakan ke arah tayar kereta dinaiki suspek," katanya.

Nik Ezanee berkata, ketika proses tangkapan dibuat, suspek sekali lagi bertindakan agresif dan berlaku pergelutan antara suspek dan polis sebelum berjaya ditahan.

"Pemeriksaan di dalam kenderaan suspek menemui beg silang yang mengandungi 20 paket dadah jenis heroin seberat 20 gram.

"Susulan tangkapan suspek, polis kemudian membuat serbuan pada 5 petang di rumah di Jalan USJ 13/5E di Subang Jaya dan menahan seorang lelaki berusia 26 tahun," katanya.

Menurutnya, polis juga menemui dadah jenis syabu seberat 140 gram, daun ganja kering, pil ekstasi dan heroin berjumlah RM48,480.

"Polis kemudian menyerbu sebuah lagi rumah pada hari sama di Jalan USJ 3/4K di Subang Jaya dan menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dipercayai turut terbabit dengan sindiket sama.

"Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dan Seksyen 39A(2) akta yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 5:30 PM