PEGAWAI KPDNHEP memusnahkan barangan palsu yang dirampas.
PEGAWAI KPDNHEP memusnahkan barangan palsu yang dirampas.
Nurul Hidayah Bahaudin


PENJUALAN minyak enjin palsu untuk kenderaan jelas masih dilakukan walaupun acap kali diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Sehingga kini, KPDNHEP Wilayah Persekutuan masih mengesan penipuan itu selain turut merampas produk tiruan membabitkan pakaian seperti baju dan seluar sukan, kasut, selipar, minuman keras, aksesori wanita, beg tangan, cakera optik dan aksesori telefon bimbit.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,

Azeem Nazuri berkata, kandungan minyak enjin atau minyak hitam disyaki tiruan dikeluarkan dari bekas plastik dijual sebelum dimasukkan ke dalam tong khas.

Menurutnya, tong itu kemudian akan dihantar ke tempat pelupusan khas untuk dilupuskan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) tanpa menjejaskan alam sekitar.

"Kaedah sama turut dilakukan membabitkan perlupusan minuman keras tiruan," katanya.

Beliau mengulas tindakan melupuskan pelbagai barangan yang dirampas KPDNHEP Wilayah Persekutuan bernilai RM293,724.60 hari ini.

Azeem Nazuri berkata, semua barangan dilupuskan itu membabitkan 44 kes dikendalikan pihaknya.

"Kesemua barangan itu adalah barangan rampasan ke atas perlanggaran kesalahan

mengikut Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Harga dan

Antipencatutan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987.

"Barangan rampasan itu sudah dilupuskan dengan cara dimusnahkan dan ini adalah sesi pelupusan kali ke-11 pada tahun ini selepas mendapat arahan pelupusan daripada mahkamah dan pengawal akta," katanya.

Merujuk statistik rekod pelupusan bagi tahun 2020 setakat ini, sebanyak 152 kes iaitu membabitkan barangan bernilai RM2,659,812.32 sudah dilupuskan.

Manakala sepanjang tahun 2019 pula, sebanyak 275 kes membabitkan nilai rampasan sebanyak RM5,987,650 dilupuskan.

Pada tahun 2018 pula, sebanyak 341 kes rampasan membabitkan barangan bernilai

RM7,212,116 dilupuskan.

"Kementerian menerusi Bahagian Penguatkuasa memberi amaran keras dan peringatan kepada mana-mana individu mahu pun syarikat supaya tidak melanggar undang-undang. "Sebarang aduan boleh disalurkan kepada kementerian ini melalui portal [email protected], pusat panggilan 1800 886 800, emel [email protected], Enforcement Command Centre (ECC) 03-8882 6245 / 6088 atau WhatsApp ke 019- 279 4317.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 6:48 PM