KOMANDER Azman Yusof menyampaikan sumbangan kepada anak ahli PKVIATM di Majlis Mesyuarat Agung PKVIATM Tahunan kali ke 2 di Port Dickson Golf Country Club, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
KOMANDER Azman Yusof menyampaikan sumbangan kepada anak ahli PKVIATM di Majlis Mesyuarat Agung PKVIATM Tahunan kali ke 2 di Port Dickson Golf Country Club, Port Dickson. FOTO MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


ISU kebajikan veteran serta bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berbangsa India tetap dibela susulan penubuhan Persatuan Veteran India Angkatan Tentera Malaysia (PKVIATM) sejak dua tahun lalu.

Presiden PKVIATM, Datuk V Sundararaju berkata, setakat ini seramai 200 ahli sudah berdaftar di dalam persatuan itu.

"Kami beri tumpuan terhadap usaha menjaga kebajikan ahli. Malah kami dalam usaha mengesan bekas anggota ATM berbangsa India yang masih belum mendaftar sebagai ahli.

"Malah kami juga berusaha mendekati belia berbangsa India dan menggalakkan mereka menyertai ATM. Buat masa ini, PKVIATM fokus terhadap usaha memberi sumbangan kepada veteran ATM yang kesusahan," katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kebajikan dan Mesyuarat Agung Tahunan Ke 2 di Port Dickson Golf Country Club, Negeri Sembilan tadi.

Majlis perasmian disempurnakan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Selangor, Komander Azman Yusof.

Sementara itu, Komander Azman berkata, ramai yang tidak memahami JHEV sebagai penghubung antara veteran dan kerajaan.

"Anggota tentera yang berhenti atas tindakan tatatertib secara dasarnya bukan veteran tentera. Hanya anggota ATM yang berpencen atau berhenti secara baik boleh dianggap veteran. Menjadi tugas kami menjaga kebajikan veteran tentera," katanya.

Dalam majlis ini Komander Azman turut menyampaikan sumbangan kepada anak ahli yang cemerlang dan kepada veteran yang cacat anggota.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 7:26 PM