Norzamira Che Noh


KETUA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Klang, Datuk Syed Abdillah Syed Abdul Aziz mengumumkan peletakan jawatan dalam parti serta membubarkan bahagian itu hari ini.

Seramai 23 ahli jawatankuasa bahagian itu turut mengikut langkahnya.

Syed Abdillah berkata, beliau akan memohon untuk menyertai parti baharu yang ditubuhkan bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

"Tindakan keluar daripada parti adalah disebabkan hilang segala kepercayaan terhadap kepimpinan peringkat penaja dan kami sebulat suara akan memohon menjadi ahli parti baharu yang diumumkan oleh Dr Mahathir.

"Terdapat 10 cawangan Bersatu di bahagian Klang dengan 2,800 keahlian dan 1,800 daripadanya menyokong perjuangan Dr Mahathir," katanya pada sidang media khas di Klang, hari ini.

Beliau berkata, beliau dan ahli Bersatu Klang gembira dengan pengumuman Dr Mahathir yang ingin menubuhkan parti baharu dan sudah bersedia untuk menyokong parti berkenaan.

"Kita sedang menuju ke arah perjuangan parti baharu Dr Mahathir dan Alhamdulillah kita bersedia untuk bina satu platform baharu walaupun duduk dalam blok bebas," katanya.

Menurutnya, lebih banyak bahagian akan mengambil tindakan keluar dari parti itu dalam masa terdekat.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan (Adun) Jeram yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor, Mohd Shaid Rosli mengumumkan keluar dari parti itu berkuat kuasa hari ini.

Turut mengikut langkah beliau adalah 21 ahli jawatankuasa bahagian, ketua cawangan dan majoriti ahli parti itu di Kuala Selangor.

SYED Abdillah (tiga dari kiri) serta ahli jawatankuasa mengumumkan keluar dari Bersatu berkuat kuasa hari ini. FOTO Faiz Anuar
SYED Abdillah (tiga dari kiri) serta ahli jawatankuasa mengumumkan keluar dari Bersatu berkuat kuasa hari ini. FOTO Faiz Anuar

Berita berkaitan

Bersatu Kota Raja dan Bangi pula bubar?

Adun Jeram umum keluar Bersatu, sertai parti baharu [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 7:34 PM