ORANG ramai yang hadir pada program yang berlangsung di Pagoh.
ORANG ramai yang hadir pada program yang berlangsung di Pagoh.
Oleh Mohamed Farid Noh


BAGI memutuskan rantaian penularan Covid-19, orang ramai berikrar akan membudayakan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Tinjauan mendapati masyarakat di akar umbi termasuk di sini, memahami kebimbangan kerajaan terhadap penularan Covid-19 jika rakyat terus alpa terhadap pematuhan kepada SOP.

Peniaga makanan, Mariatul Akma Abd Samad, 34, berkata, pelancaran kempen membudayakan norma baharu di Pagoh hari ini, tepat pada masanya di saat segelintir masyarakat mula mengambil ringan terhadap pematuhan SOP.

Katanya, antara yang sering dilakukan adalah tidak memakai pelitup muka ketika berada di kawasan orang ramai atau tempat sesak.

"Saya cukup bimbang dengan jangkitan Covid-19, kerana itu saya tetap memakai pelitup muka walaupun panas dan tidak selesa.

"Saya turut berpesan kepada dua anak yang bersekolah rendah supaya sentiasa memakai pelitup muka di sekolah," katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu untuk memperkasa usaha memerangi penularan Covid-19 di negara ini.

Muhyiddin dilaporkan berkata, kempen berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kawalan kendiri dalam kalangan masyarakat.

Peniaga, Rosdin Omar, 48, berkata, dia tetap mengambil langkah berwaspada walaupun negara berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Saya tidak membenarkan anak yang masih bersekolah berada di tempat awam bagi mengurangkan risiko jangkitan.

"Malah pemakaian pelitup muka juga sangat dititikberatkan dalam keluarga selain penjarakan fizikal jika berada di kawasan sesak, " katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Pagoh Baharudin Tumin, 48, berkata, beliau merancang mengadakan program penerangan di kampungnya dalam masa terdekat.

"Generasi muda di kampung tiada masalah memahami norma baharu dan mempraktikkannya berikutan terdedah dengan media sosial.

"Namun generasi lama memerlukan masa dan penerangan lebih lanjut bagi memahami norma baharu ini dan kesalahan sering dilakukan adalah tidak memakai pelitup muka. Saya harap program penerangan yang akan dibuat nanti memberi kefahaman kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 8:30 PM