Anggota PBS Kalabakan menyelamatkan anak kucing yang terperangkap di atas pokok kelapa sawit di Kampung Rancangan Kalabakan pagi hari ini. Foto Ihsan PBS Kalabakan
Anggota PBS Kalabakan menyelamatkan anak kucing yang terperangkap di atas pokok kelapa sawit di Kampung Rancangan Kalabakan pagi hari ini. Foto Ihsan PBS Kalabakan
Abdul Rahemang Taiming

PASUKAN Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan menyelamatkan seekor anak kucing yang terperangkap di atas pokok kelapa sawit setinggi lebih 10 meter di Kampung Rancangan Kalabakan pagi hari ini.

Pengadu yang juga pemilik anak kucing itu memaklumkan haiwan peliharaannya terperangkap di atas pokok kelap sawit selepas dikejar seekor anjing liar.

Ketua PBS Kalabakan Abdul Kadir Imran berkata, pemilik kucing terbabit menghubungi pasukan penyelamat pada 8.50 pagi selepas haiwan itu gagal turun.

Menurutnya, sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian sebelum operasi membawa turun haiwan itu dimulakan pada 9.15 pagi.

"Anggota menggunakan tangga bagi menyelamatkan anak kucing jantan berkenaan yang dipercayai sudah berada lebih 24 jam di atas pokok kelapa sawit terbabit.

"Operasi mengambil masa lebih sejam berikutan terdapat banyak pelepah sawit tua yang menghalang pergerakan anggota selain kedudukan anak kucing yang agak tersorok," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, akhirnya ia berjaya dibawa turun tanpa mengalami sebarang kecederaan dan seterusnya diserahkan kepada pemiliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 10:15 PM