Anggota bomba memberi bantuan kepada mangsa yang terjatuh di Lata Payung di Kampung Danglang, Kuak dekat Lenggong tengah hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba memberi bantuan kepada mangsa yang terjatuh di Lata Payung di Kampung Danglang, Kuak dekat Lenggong tengah hari ini. Foto Ihsan JBPM
Mohd Rashidi Yusuf

REMAJA cedera selepas tergelincir dan terjatuh dari ketinggiannya 150 meter di Lata Payung, Kampung Danglang, Kuak dekat Lenggong tengah hari ini.

Kejadian pada 1.30 tengah hari itu menyebabkan Muhammad Akmal Erffan Abdul Majid, 18, dari Bagai Serai patah paha kanan, gigi dan cedera di dahi.

Dia dikatakan sedang berkelah bersama rakannya di kawasan itu selepas bercuti di rumah saudara di kampung berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong Pegawai Bomba Kanan II Nik Mohd Kamil Nik Yaakob berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.44 petang sebelum sepasukan anggota yang diketuainya ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pihaknya memberi rawatan awal kepada mangsa dan membawa mangsa menuruni bukit terbabit.

"Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Nik Mohd Kamil berkata, operasi menyelamatkan mangsa mengambil masa kira-kira tiga jam dan tamat pada 5.08 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 12:14 AM