AMIRUDIN (dua kiri) melancarkan kempen larangan merokok dan meminum arak di taman awam. FOTO Norzamira Che Noh
AMIRUDIN (dua kiri) melancarkan kempen larangan merokok dan meminum arak di taman awam. FOTO Norzamira Che Noh
Norzamira Che Noh


TINDAKAN amaran serta nasihat akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan terhadap individu yang merokok serta meminum minuman keras di taman awam di Selangor.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan kompaun sepatutnya sudah boleh diambil; bagaimanapun, beliau mahu memulakan larangan itu dengan amaran serta nasihat.

"Kita akan mulakan dengan aktiviti pendidikan termasuk memasang pasang tanda larangan serta mengedarkan risalah sebelum tindakan tegas diambil.

"Kita mahu ia dijalankan seperti kempen larangan merokok di restoran dan kedai makan yang mana ia dimulakan dengan nasihat serta amaran," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Larangan Aktiviti Minum Arak dan Merokok di Taman Tasik Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kassim.

Beliau berkata, peraturan itu diharapkan dapat menimbulkan suasana lebih harmoni serta mengurangkan kebimbangan masyarakat dan komuniti apabila berkunjung ke taman awam terutamanya apabila membawa anak-anak.

Katanya, sekiranya kempen larangan itu berkesan, kerajaan negeri bersedia untuk mengkaji larangan yang sama di kawasan awam yang lain.

Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia melarang meminum arak dan merokok di taman permainan serta taman rekreasi.

Individu yang didapati merokok atau meminum arak di taman awam boleh dikenakan kompaun RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 12:20 PM