LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Ramli Ibrahim


"BUKAN semua lelaki warga asing mempunyai sikap tidak bertanggungjawab terhadap isterinya wanita Orang Asli dan ada yang tidak balik ke negara asalnya.

"Ia terpulang kepada ketegasan kita sendiri untuk menghalang dia (suami warga asing) pulang ke negara asal,"kata Fusani Ali, 32, wanita Orang Asli, tinggal di Lojing, dekat Gua Musang.

Katanya, dia sebagai wanita Orang Asli masih bersuamikan lelaki warga Bangladesh dan tetap bahagia tinggal bersama sejak lima tahun lalu.

Dia mengakui memang bersuamikan lelaki warga asing berdepan risiko gantung tidak bertali sebagaimana dihadapi kebanyakan wanita Orang Asli lain.

Bagaimanapun, kata beliau, sebenarnya lelaki warga asing itu ada yang berkelakuan baik hingga membuka kedai perniagaan untuk hidup bersama.

"Wanita Orang Asli yang ditinggal suami gantung tidak bertali itu adalah nasib mereka dan tidak ada perancangan awal selepas berkahwin," katanya, hari ini.

Seminggu lalu, penghulu Orang Asli di Lojing mendedahkan semakin ramai wanita kaum yang berumah tangga dengan lelaki warga asing berdepan masalah.

Ini apabila sebilangan besar daripada mereka digantung tidak bertali selepas suami pulang ke negara asalnya.

Sementara itu, lelaki warga Bangladesh yang berumah tangga dengan wanita Orang Asli, Yusoff Ahmad, 42, pula berkata, perkara itu terletak pada keikhlasan.

Katanya, dia sendiri tidak pernah berniat untuk mendirikan rumah tangga sementara ketika berada di negara ini sebagai tempat mencari rezeki.

Dia berkata, apabila sudah mempunyai anak tidak sampai hati untuk tinggal mereka dan tetap bertanggungjawab menjaganya.

"Bukan saya sahaja, malah ramai lagi rakan senegara terus kekal tinggal di sini walaupun sudah ada 10 tahun berumah tangga dengan wanita Orang Asli," katanya.

Berita berkaitan:

  • Perlu peranan semua pihak
  • 'Kami serik'
  • Lebih 50 ditinggalkan suami warga asing
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 1:24 PM