GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Rosyahaida Abdullah

SEKURANG-kurangnya 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa pihak berwajib mempertimbangkan larangan penuh merokok termasuk rokok elektronik atau vape di kawasan bangunan Parlimen dengan segera.

Dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan semalam, Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) mewakili 25 lagi NGO menyatakan bantahan terhadap aktiviti menghisap vape yang didapati berleluasa di bangunan Parlimen.

Jelas PPPKAM, aktiviti itu dikesan sejak sidang Dewan Rakyat bermula bulan lalu tanpa penguatkuasaan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Perkara ini menjadi lebih ketara selepas tularnya video menunjukkan seorang Ahli Parlimen menghisap vape sewaktu sesi Dewan Rakyat berlangsung.

"Isu ini mesti dipandang berat oleh kerajaan memandangkan bangunan Parlimen diwartakan sebagai kawasan larangan merokok," katanya.

Menurut PPPKAM, Parlimen adalah simbol kedaulatan negara serta menjadi tempat undang-undang digubal justeru setiap wakil yang sudah diundi ke Parlimen seharusnya mempamerkan contoh terbaik buat rakyat.

"Mewakili 80 peratus rakyat Malaysia yang tidak merokok, kami menyuarakan rasa kesal atas kejadian ini. Tentunya semua pihak tahu tabiat merokok terbukti boleh menyebabkan pelbagai komplikasi penyakit.

"Seluruh bangunan Parlimen diwartakan kawasan bebas rokok dengan menutup secara rasminya bilik merokok pada 15 Oktober 2018.

"Diharap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bertegas dalam usaha murni ini bagi memastikan Parlimen yang menjadi simbol kedaulatan negara tidak kembali tercemar dengan tabiat buruk ini," katanya.

Antara NGO dan badan profesional yang bersama dalam pendirian PPPKAM berkaitan isu itu termasuk Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health), Akademi Farmasi Malaysia, Ikatan Pengamal Perubatan & Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) serta Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau & Kesihatan (MyWATCH).

Selain itu, badan lain adalah Delegation of Nurses, NCD Consultant Chapter, Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam, Yayasan Atfal Jannah serta The International Women's Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ).

#kw rokok, vape, bangunan Parlimen, NGO, larangan, Kuala Lumpur

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 1:27 PM