Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan ebuah lori terbakar di Batu 14 Jalan Apas, dekat Tawau, petang semalam. FOTO Ihsan Bomba.
Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan ebuah lori terbakar di Batu 14 Jalan Apas, dekat Tawau, petang semalam. FOTO Ihsan Bomba.
Abdul Rahemang Taiming


PEMANDU lori menempuh detik cemas apabila kenderaan dipandunya terbakar di Batu 14, Jalan Apas, Tawau, semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang, lori terbabit yang membawa muatan barangan runcit musnah sepenuhnya selepas berlaku kebakaran ketika dalam perjalanan dari arah pusat bandar ke arah Balung.

Bagaimanapun pemandu lelaki berumur dalam lingkungan 30-an terbabit sempat keluar untuk menyelamatkan diri sebelum lori berkenaan hangus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Tawau Zulbada Alior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian terbabit pada jam 3.03 petang.

Beliau berkata, tujuh pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan digerakkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik sampai di lokasi, anggota bomba mendapati kebakaran berlaku di bahagian hadapan lori dan sudah merebak ke bahagian belakang yang penuh dengan muatan barang makanan.

"Operasi pemadaman kemudian dilakukan dan api berjaya dikawal kira-kira jam 4 petang sebelum operasi ditamatkan 30 minit kemudian," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, tiada mangsa cedera susulan kebakaran itu manakala punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 2:54 PM